

KOTA TINGGI, 23 Jun -- Air terawat hasil proses penyahgaraman di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng mematuhi sepenuhnya piawaian kualiti air minum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengguna tidak perlu bimbang kerana air yang dibekalkan adalah sesuai dan selamat digunakan untuk keperluan harian.
Penggunaan teknologi penyahgaraman merupakan antara pendekatan yang dilaksanakan Ranhill SAJ dalam menangani kekangan sumber air di kawasan terbabit akibat kemarau sehingga Bekalan Air Berjadual (BAB) dilaksanakan antara 1 April dan 16 Mei lalu.
Keupayaan proses penyahgaraman itu turut menarik perhatian SAJ Sdn. Bhd. (SAJSB), sebuah agensi milik penuh kerajaan Johor yang berfungsi sebagai pemegang dan pengurus beberapa aset air negeri.
Ketua Eksekutifnya, Mohd Riduan Md. Ali hari ini mengadakan lawatan ke loji tersebut bagi meninjau secara dekat pengoperasian teknologi penyahgaraman serta keberkesanan proses rawatan yang dijalankan.
Beliau turut dibawa melihat bagaimana air mentah dirawat sehingga mencapai standard kualiti air terawat yang telah ditetapkan.
Air terawat itu mempunyai nilai pH antara 6.5 hingga 9.0 menunjukkan tahap keseimbangan asid dan alkali dalam air, manakala kandungan klorin yang dibenarkan ialah antara 0.2 hingga 5.0 mg/l bagi memastikan air kekal selamat sepanjang proses pengagihan.
Selain itu, kadar kekeruhan perlu berada di bawah 5 NTU bagi memastikan air kelihatan jernih dan tidak mengandungi zarah-zarah halus mahupun kekotoran.
Kandungan parameter lain seperti aluminium, ammonia, chloride, iron dan manganese juga dikawal pada tahap tertentu agar tidak menjejaskan kesihatan, di samping memastikan bakteria berbahaya seperti E.Coli dan Total Coliform tidak dikesan.
Pemantauan bacaan kualiti air dijalankan secara berkala di LRA Lok Heng bagi memastikan setiap parameter berada dalam julat yang dibenarkan berdasarkan piawaian KKM.
Validate your login