

Selaku operator tunggal air terawat Johor, Ranhill SAJ terus mengukuhkan reputasinya dalam pengurusan air lestari apabila dinobatkan penerima ESG PLUS Award 2025 kategori Environmental Sustainability Award – Water Stewardship & Conservation dalam satu majlis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan kepada organisasi yang menunjukkan komitmen tinggi dalam pengurusan sumber air secara mampan, inovasi operasi serta pemeliharaan alam sekitar selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Majlis penganugerahan berlangsung di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu itu turut menghimpunkan pemimpin industri, penggerak ESG dan wakil organisasi dari pelbagai sektor.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Turut hadir, Pengerusi ESG PLUS Awards 2025, Puan Sri Datuk Akmal Abdul Salam dan Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam.
Ranhill SAJ dipilih berdasarkan kepimpinan serta pelaksanaan berterusan inisiatif pengurusan air lestari, termasuk pengurangan Non-Revenue Water (NRW) ke tahap terendah nasional, penggunaan teknologi Zero Discharge, perlindungan ekosistem melalui sistem rawatan mendapan, program pendidikan air serta kerjasama strategik bersama komuniti dan rakan industri.
Majlis berkenaan turut merangkumi sesi dialog, “The ESG Balancing Act: Profit, People & Planet in Today’s Economy” yang membincangkan cabaran dan hala tuju pelaksanaan ESG dalam landskap perniagaan semasa.
Pengiktirafan ini menzahirkan komitmen berterusan Ranhill SAJ dalam memastikan pengurusan sumber air bertanggungjawab serta keselamatan bekalan air, sejajar agenda pembangunan mampan nasional.
Validate your login